Surau al-Hidayah, Taman Melur, Kedah

Surau Al-Hidayah Taman Melur Jitra terletak satu kawasan kejiranan yang dikenali sebagai Taman Melur iaitu di pinggir bandar dan berhampiran kawasan perkampungan dalam mukim Pelubang.

Tidak jauh dari susur keluar lebuhraya Utara Selatan, melalui laluan Bandar Darul Aman ke Wang Tepus, merupakan lokasi yang sangat strategik, jauh daripada kesesakan kenderaan dan kebisingan Bandar. Bagaimanapun, surau Al-Hidayah mempunyai lakaran sejarahnya yang tersendiri dan melalui beberapa fasa sejak tahun 2004 hingga kini. Ia berkembang maju seiring peredaran zaman dan kecanggihan teknologi telekomunikasi, tidak pernah sunyi dengan pengimarahan solat berjamaah lima waktu, siri pengajian dan lain-lain aktiviti keagamaan.

FASA SATU
Penubuhan Jawatankuasa Penaja Pembinaan Surau dibentuk pertengahan tahun 2004 yang dipilih dalam kalangan penduduk yang terawal menghuni di Taman Melur. Jawatankuasa ini telah mengadakan mesyuarat pertamanya pada 22 Disember 2004 untuk membincangkan cara mendapatkan dana dan rekabentuk pembinaan surau di tapak yang berkeluasan 10000 kaki persegi. Cadangan pembinaan tersebut adalah pada kadar yang bersesuaian bagi menampung sejumlah 400 keluarga Muslim di kawasan kejiranan ini.

FASA DUA
Fasa ini merupakan peringkat permulaan kerja-kerja pembinaan surau. Hasil daripada kesungguhan Jawatankuasa Penaja, maka pada tahun 2006 tertegaklah sebuah surau kayu yang cantik seperti senibina tradisional Melayu zaman silam. Surau kayu tersebut adalah sumbangan daripada salah seorang penghuni Taman ini, yang mewakafkan kayu daripada rumah bondanya yang terletak di Kuala Kedah. Pada 07 Ogos 2006, iaitu bertepatan dengan Malam Nisfu Syaaban, surau ini telah digunakan secara rasminya dengan penganjuran Majlis Bacaan Yasin Malam Nisfu Syaaban yang mendapat sambutan yang sangat mengalakkan dalam kalangan penduduk setempat. Pada 26 Februari 2007, surau Taman Melur dengan rasminya diberi nama Surau Al-Hidayah Taman Melur hasil daripada pencarian nama melalui pertandingan memberi nama surau yang dianjurkan oleh Jawatankuasa Penaja. Sejak siap dibina surau Al-Hidayah terus berkembang dengan aktiviti rutin iaitu solat berjamaah lima waktu dan lain-lain aktiviti seperti kuliah pengajian, ibadah korban, solat tarawih, solat hari raya dan jamuan raya perpaduan serta lain-lain aktiviti kemasyarakatan.

FASA TIGA
Peristiwa yang tidak diduga, berlaku secara tiba-tiba yang memusnahkan segala impian, kemeriahan, keseronokkan dan kecintaan penduduk setempat terhadap aktiviti pengimarahan surau. Kebakaran surau pada tanggal 27 November 2011 bersamaan 01 Muharram 1443H ketika penduduk sedang bersiap sedia untuk menghadiri solat jamaah Maghrib, terbakar hangus dan yang hanya tinggal kesan dan rangka-rangka kayu yang telah menjadi arang. Bagaimanapun, ianya tidak mematah semangat penduduk untuk membina semula surau baharu dengan terbentuknya Jawatankuasa Bertindak Pembinaan Surau Baharu yang ditubuhkan pada malam tersebut dengan dihadiri YB Dato' Wira Mohd Johari Bin Baharom iaitu Ahli Parlimen Kubang Pasu dan Tuan Imam Masjid Jami'e Ar-Rahman Qariah Kepala Batu. Dalam mesyuarat tersebut, Dato' Wira Mohd Johari Bin Baharom telah mengumumkan peruntukan segera sebanyak RM200,000.00 daripada ICU Negeri Kedah untuk pembinaan semula surau Al-Hidayah Taman Melur.

FASA EMPAT
Setelah mendapat peruntukan dan kelulusan segera dari ICU, maka kerja-kerja pemilikan tapak dan pembinaan surau baharu bermula pada 22 Februari 2012 dengan keluasan binaan 60 kaki x 40 kaki. Keluasan ini mampu menampung 300 jamaah pada satu-satu masa. Kerja-kerja pembinaan ini mengambil masa selama 21 minggu untuk disiapkan dan siap sepenuhnya pada 19 Julai 2012. Majlis penyerahan kunci dan perasmian surau baru telah disempurnakan oleh YB Dato' Wira Mohd Johari Bin Baharom iaitu Ahli Parlimen Kubang Pasu pada 14 September 2012.

FASA LIMA
Setelah melalui beberapa fasa dalam perjalanannya, kini Surau Al-Hidayah berdiri teguh dengan memberi khidmat diri kepada masyarakat setempat dan juga dari luar Taman Melur. Banyak aktiviti-aktiviti pengimarahan selain solat fardhu berjamaah dianjurkan di surau yang tersergam indah ini seperti program solat sunat Taraweh, Tadarrus Al-Quran, solat sunat Idulfitri, solat sunat Idul Aha, program ibadah korban, pengajian kitab secara mingguan dan sebagainya. Semua kegiatan di surau ini dikendalikan oleh Jawatankuasa Surau Al-Hidayah melalui biro-biro yang diwujudkan iaitu: 1. Biro Tarbiah 2. Biro Multimedia 3. Biro Kebersihan & Keceriaan 4. Biro Imarah Surau 5. Biro Prihatin & Khairat 6. Biro Pembangunan & Siaraya 7. Biro Siaraya & Selenggara Sehingga kini, Surau Al-Hidayah terus mengorak langkah dalam menjalankan peranannya sebagai institusi masyarakat dan dakwah seiring dengan perkembangan masa dan kecanggihan teknologi komunikasi.

Tel: 012-5865130 (Pengerusi) /
019-5583123 (Setiausaha) .

Borang Infaq

+60
RM
RM
powered by